Assalamuaalikum dan Salam Sejahtera.

Saya Shazren Shah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Erin, seorang ibu kepada 3 orang anak , seorang juruterapi bayi dan pengasas Sentuhan Ibu.

Di Sentuhan.com anda akan dapat lebih banyak infomasi bukan sahaja tentang teknik terapi bayi tetapi juga info-info dan perkongsian ilmu keibubapaan, penyusuan dan lain-lain.

Perkongsian di sini bermula daripada pengalaman Kak Erin sendiri semasa membantu anak yang sakit kronik. Dua tahun yang lalu anak sulung Kak Erin disahkan menghidap Epilepsi yang kritikal. Dia terlantar di katil hospital hampir setahun lamanya. Kak Erin korbankan kerja kerana tiada pilihan lagi.

Serangan sawan setiap dua jam buat Kak Erin mati akal dan berendam air mata sehinggalah doktor memaklumkan buah hati tersayang berisiko menghidap lumpuh otak.

Ketika itu Kak Erin mencuba pelbagai rawatan termasuklah kaedah alternatif menggunakan pati tumbuh-tumbuhan dan bungaan segar yang digabungkan dengan teknik terapi sentuhan atau urutan. Alhamdulillah ada perubahan pada anak dan terlintas di fikiran Kak Erin untuk berkongsi kebaikan tersebut bersama ibu bapa lain.

Tekad untuk terus berkongsi pengalaman dan manfaat, Kak Erin melanjutkan pengajian dalam bidang Aromaterapi, pensijilan khas dalam urutan dan pengiktirafan dari Persatuan Urutan Bayi Antarabangsa.

Hakikatnya, semasa mengharungi ujian kesihatan anak Kak Erin juga banyak belajar mengenai gaya hidup anak sihat, ilmu keibubapaan, keseimbangan emosi dan lain-lain lagi. Tidak kira sama ada ketika anak sihat atau sakit, kita perlu menyediakan persekitaraan terbaik yang sesuai untuk perkembangan dan pembelajaran mereka.

Dan di SentuhanIbu.Com inilah kita dapat sama-sama berkongsi pengalaman untuk kebaikan ibu bapa secara keseluruhannya.